Lawatan kerja tiga hari Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) ke Thailand yang berakhir pada Sabtu merupakan Misi Perdagangan Francais Antrabangsa sempena ‘Expo Thailand Franchise Business Opportunities 2024’.
Ia bertujuan mempromosikan syarikat-syarikat francais jenama tempatan ke peringkat antarabangsa khususnya di Thailand yang mempunyai potensi pasaran besar dengan jumlah penduduk seramai 71.6 juta orang.
Menteri Pembangunan Usahawan an Koperasi, Datuk Ewon Benedick selaku ketua delegasi negara berkata, beliau telah mengadakan perbincangan meja bulat bersama pihak industri francais di Thailand dan Timbalan Perdana Menteri Thailand merangkap Menteri Perdagangan Thailand, Phumtan Wechayachi.
“Saya mengalu-alukan kerjasama antara Franchise & Licensing Association (FLA) Thailand dengan Persatuan Francais Malaysia (MFA) untuk memperkasakan pembangunan ‘business-to-business’ komuniti niaga kedua-dua persatuan itu.
“Perbincangan ini juga mengenai perkembangan pembangunan sektor francais di Thailand serta bertukar-tukar maklumat dan pandangan bagi mempertingkatkan lagi Kerjasama pada masa hadapan,” katanya.
Ewon berkata, dalam pertemuan dengan Phumtan itu, mereka membincangkan mengenai pemerkasaan kerjasama dalam bidang francais dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Kedua-dua kami juga saling menghargai keinginan dan komitmen untuk pertukaran maklumat dan kepakaran melalui kementerian dan agensi,” katanya.
Turut bersama dalam pertemuan itu ialah Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel, Pengerusi Pernas, Dato Hazimah Zainuddin, Pengerusi MFA, Datuk Dr Radzali Hassan dan pegawai-pegawai KUSKOP serta Kedutaan Malaysia di Bangkok.
Pada lawatan ini, Ewon mengadakan pertemuan bersama pihak industri, diaspora Malaysia dan Malawakil Malaysia di Bangkok, selain lawatan kerja ke syarikat francais Cafe Amazon milik syarikat Thailand dan juga ke Laundrybar, syarikat francais Malaysia yang beroperasi di Thailand.