Terengganu bakal menjadi hub pertama buat industri baru iaitu pemerangkapan, penstoran dan penggunaan karbon (CCUS) di Malaysia.
Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli menyatakan bahawa ia merupakan satu industri yang tidak pernah wujud di Malaysia dan hanya wujud di beberapa buah negara di dunia.
“Kementerian Ekonomi menggalas tanggungjawab membangunkan industri baru ini yang menjadi sebahagian daripada Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR).
“Pelaburan bagi satu hub CCUS dijangka mencecah RM20 bilion dan menjana peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.
“Insya-Allah, industri baru ini akan menyaksikan pelaburan terbesar di Terengganu dalam tempoh dua dekad,” katanya dalam kenyataan.
Teknologi CCUS antara kaedah mitigasi penting dalam mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2) kerana ia digunakan untuk memerangkap dan menyimpan kekal CO2 di dalam tanah.
Rafizi turut menyatakan negeri Pahang, Sabah dan Sarawak turut berpotensi untuk membangunkan hub CCUS selain Terengganu.
Dalam pada itu, Rafizi turut menzahirkan harapan bahawa pembangunan hub CCUS yang dibawa ke Terengganu dapat membuka mata individu yang secara berterusan menuduh Kerajaan Madani mengabaikan negeri-negeri pembangkang.
Baca juga: