Seorang wanita dipercayai warga emas maut selepas kereta yang dinaiki bersama suaminya dipercayai hilang kawalan sebelum berpusing dan masuk ke laluan bertentangan serta merempuh kenderaan lain di Kilometer 60 Jalan Gua Musang-Lojing pada Ahad.
Dalam kejadian pukul 3.40 petang itu, wanita berkenaan, Maznah Mat Nor, 63, bagaimanapun meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Gua Musang.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dipandu Ariffin Mamat, 75, bersama isteri datang dari arah Gua Musang menghala ke Lojing.
“Ketika sampai di lokasi kejadian secara tiba-tiba suami kepada mangsa yang hendak mengambil selekoh ke kanan jalan telah hilang kawalan.
“Kereta terbabit telah berpusing masuk ke laluan bertentangan lalu dirempuh oleh kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu lelaki berusia 44 tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, ketiga-tiga mangsa telah dikejarkan ke Hospital Gua Musang untuk mendapatkan rawatan awal.
Ujarnya, Maznah disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan dan telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.
Tambah Choon Foo, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Difahamkan, siasatan masih diteruskan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian terbabit diminta menyalurkan maklumat dengan menghubungi talian 09-9121222 atau 013-3010408.
Baca juga: