Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Perlis berasa amat kesal dengan tindakan Perikatan Nasional (PN) Negeri Perlis yang telah menggunakan premis rasmi Kerajaan Negeri, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis bagi tujuan politik, baru-baru ini.
Menurut Ketua AMK Perlis, Azzin Izzad Bahanudin, pihak PN Perlis telah mengadakan mesyuarat di dalam bilik mesyuarat di kompleks berkenaan.
“Ini jelas penyalahgunaan premis rasmi kerajaan untuk tujuan politik. Hal seperti ini tidak patut berlaku kerasa Pas selalu membuat tuduhan terhadap Kerajaan Perpaduan kononnya menggunakan jentera dan premis kerajaan untuk tujuan politik.
“Tetapi kini, mereka sendiri telah melakukan perkara tersebut secara terang-terangan memakai baju Parti Bersatu dan PN,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Susulan itu, pihak AMK Perlis menuntut penjelasan dan permohonan maaf dari Menteri Besar Perlis yang telah diamanahkan untuk mentadbir kerajaan negeri tetapi telah menyalahguna premis berkenaan.
Sebelum ini, tular gambar mesyuarat PN Perlis yang dihadiri oleh pimpinan negeri iaitu Menteri Besar Perlis, Pengerusi Bersatu Negeri Perlis dan mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN.
Baca juga: