Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Pulau Pinang menyatakan kekesalan mereka berhubung video promosi George Town Festival 2024 yang dianggap tidak mengiktiraf warisan budaya masyarakat melayu sekaligus tidak mencerminkan kepelbagaian kaum dan budaya yang sebenar pada Rabu.
Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Pulau Pinang, Abdul Mohsein Mohd Shariff menerusi satu kenyataan pada 16 Julai 2024, menggesa semua pihak yang terlibat untuk memandang isu ini secara serius bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang lagi di masa hadapan.
“Imej kepelbagaian budaya Pulau Pinang mesti dipelihara dan diraikan dalam semua bahan promosi. Berdasarkan makluman, video tersebut sebenarnya merupakan versi draf dan bukanlah merupakan hasil akhir, bahkan juga telah diturunkan.
“Walaupun begitu, ia bukanlah alasan terhadap kekurangan kepekaan dan sensitiviti yang ditunjukkan dalam kandungan video tersebut.
“Kami turut menggesa kontraktor yang bertanggungjawab untuk lebih berhati-hati dan sensitif terhadap budaya dalam kerja mereka terutama sekali representasi budaya di dalam konteks penganjuran acara,” jelasnya.
Tambah Mohsein, pihaknya juga ingin meredakan sebarang spekulasi mengenai bias perkauman atau diskriminasi kaum dengan meletakkan keyakinan penuh terhadap Kerajaan Negeri, melalui agensinya Georgetown World Heritage Incorporated, bagi menangani perkara ini.
Baca juga: