DBKL perjelas isu penyaluran dana kepada KLFA, KL City FC – Dr Zaliha Mustafa

Sukan bola sepak merupakan sukan yang paling digemari di seluruh dunia dan telah lama menjadi simbol persatuan dan kekuatan.

Ia bukan sahaja merupakan wadah untuk menyemarakkan semangat kesukanan dan persahabatan, tetapi juga sebagai platform untuk memupuk perpaduan di kalangan masyarakat kita yang berbilang kaum.

Walaubagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa memberi penjelasan berkenaan isu penyaluran dana kepada Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) dan Kuala Lumpur City FC (KL City FC).

“Saya ingin menjelaskan bahawa tiada sebarang obligasi untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyalurkan apa-apa bentuk peruntukan kepada KLFA dan KL City FC.

“Walaupun ianya merupakan amalan kebiasaan sebelum ini. Kedua-dua pasukan adalah merupakan badan yang berdiri dengan sendiri dan tidak mempunyai ikatan secara formal dengan DBKL dan beroperasi secara bebas,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, hasil pendapatan DBKL sebahagian besarnya datang dari cukai yang dibayar oleh rakyat.

“Ia menjadi tanggungjawab DBKL untuk memastikan bahawa wang cukai rakyat ini digunakan dengan sebaik-baiknya demi kesejahteraan dan kemakmuran semua warga kota,” katanya lagi.

Dalam pada itu, DBKL sentiasa bersedia membantu dan menghargai usaha-usaha KLFA dan KL City FC dalam memajukan sukan bola sepak di Kuala Lumpur.

Terdahulu, penjelasan berikut adalah merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Khalid Samad yang memohon agar 0.5 peratus daripada jumlah pendapatan DBKL dapat disalurkan kepada KLFA dan KL City FC.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat