Kanser payudara, kanser kolorektal dan kanser paru-paru mendahului senarai jenis kanser yang biasa didiagnosis dalam kalangan rakyat Malaysia, disenaraikan mengikut bahagian dari 2017 hingga 2021.
Perkara tersebut diikuti oleh limfoma, kanser hati, kanser prostat, leukemia, kanser nasofaring, kanser korpus rahim dan kanser ovari, menurut laporan lima tahun “Ringkasan Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia 2017-2021” (MNCR).
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan kanser adalah punca kematian ketiga di Malaysia, meningkat daripada kedudukan keempat pada 2021.
KKM menerusi satu kenyataan memaklumkan, analisis mengikut jantina mendedahkan bahawa kanser kolorektal mencatatkan insiden kanser tertinggi dalam kalangan lelaki, diikuti oleh kanser paru-paru dan kanser prostat.
Manakala dalam kalangan wanita, kanser payudara mempunyai insiden tertinggi, diikuti oleh kanser kolorektal dan kanser paru-paru.
Bagaimanapun, peratus kes kanser yang dikesan pada tahap tiga dan empat telah meningkat kepada 65.1 peratus pada tahun 2017 hingga 2021 daripada 63.7 peratus pada 2012 hingga 2016.
“Tren ini membimbangkan, seperti yang diperjelaskan dalam ‘Malaysian Study on Cancer Survival’ terbitan Oktober 2018, yang menekankan tentang kadar kelangsungan hidup (survival) yang lebih rendah dengan pengesanan kanser yang lewat.
“Oleh itu, memupuk kerjasama pelbagai pihak adalah penting untuk mengenal pasti ruang bagi meningkatkan kesedaran komuniti dan akses kepada pengesanan dan rawatan awal,” katanya.
Sementara itu, terdapat perubahan positif dalam kejadian kanser pangkal rahim di Malaysia yang menurun secara konsisten daripada 7.6 setiap 100,000 wanita pada 2007 hingga 2011, kepada 6.2 setiap 100,000 wanita pada 2012 hingga 2016, dan seterusya turun kepada 6.0 setiap 100,000 wanita pada 2017 hingga 2021.
“Usaha memerangi kanser pangkal rahim di Malaysia bermula dengan pengenalan saringan pap smear pada tahun 1969 yang kemudiannya diberi secara percuma di fasiliti kesihatan kerajaan di seluruh negara bermula pada tahun 1998.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah menerima pakai kaedah pensampelan sendiri menggunakan kit ujian pengesanan HPV (Human Papillomavirus) sebagai sebahagian daripada usahanya ke arah penghapusan kanser pangkal rahim,” menurut kenyataan itu.
Tambahnya, kerjasama pelbagai pihak berkepentingan selain KKM, termasuk wakil komuniti, universiti, fasiliti kesihatan swasta, dan pertubuhan bukan kerajaan amat berharga.
Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan, liputan pemeriksaan pap smear dalam kalangan wanita berumur antara 30 hingga 65 tahun diperluaskan daripada 23.1 peratus pada 2019 kepada 43.2 peratus pada 2023.
KKM juga meramalkan penurunan berterusan kes kanser serviks apabila generasi yang divaksinasi terhadap HPV, matang pada tahun-tahun akan datang.
Ujarnya, Malaysia menyaksikan peningkatan ketara dalam kes kanser yang dilaporkan dari 2017 hingga 2021, sebahagiannya disebaban oleh pelaksanaan sistem notifikasi baharu dan arahan pekeliling.
“Walaupun begitu, Malaysia terus bergelut dengan beban kanser yang besar. Oleh itu, adalah penting bagi pihak berkepentingan untuk terlibat secara aktif dalam pencegahan, kawalan dan rawatan kanser dengan memanfaatkan data ini secara strategik dalam perancangan.
“Melangkah ke hadapan, KKM menyasarkan untuk menambah baik ketepatan masa laporan MNCR. Usaha akan ditumpukan kepada penerbitan yang lebih kerap, mungkin beralih kepada laporan dwitahunan dan akhirnya secara tahunan.
“Inisiatif in bertujuan untuk menyediakan data yang terkini dan boleh diambil tindakan bagi menjelaskan strategi bersasar dan meningkatkan hasil dalam pencegahan dan penjagaan kanser,” katanya lagi.
Sepanjang usaha tersebut, KKM akan mengekalkan ketepatan dan kelengkapan maklumat bagi memastikan integriti dan kebolehpercayaan data.
Justeru, untuk akses kepada semua laporan dan e-buku yang bar diterbitkan, boleh layari laman sesawang IKN (http://nci.moh.gov.my) atau laman sesawang KKM (http://moh.gov.my).
Baca juga: