Bersempena dengan Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang Ke-17 pada 20 Julai ini, Khutbah Jumaat di Selangor membicarakan tajuk “Raja Ditaati, Negara Dirahmati”.
Khutbah yang dibicarakan pada 19 Julai itu menekankan kelestarian perpaduan rakyat dan memastikan pentadbiran negara berada dalam landasan yang tepat demi memelihara kedaulatan dan kesejahteraan rakyat.
“Hubungan raja dan rakyat ini diibaratkan seperti pohon pokok iaitu raja umpama pohon dan rakyat sebagai akarnya. Maka sudah tentulah pohon tidak berupaya hidup tanpa akar yang kuat dan akar pula sangat perlukan pohon yang hidup demi menjalankan fungsinya dengan baik.
“Perlu kita fahami bahawa Institusi Yang di-Pertuan Agong dan Institusi Raja-Raja Melayu harus dipertahankan kerana kita telah berada dalam institusi ini dengan acuan kita sendiri. Apatah lagi, dengan peranan Baginda yang bertindak sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri tidak beraja iaitu Pulau Pinang, Sarawak, Sabah, Melaka dan Wilayah Persekutuan.
“Manakala di negeri-negeri lain, Ketua Agama Islam ialah Sultan atau Raja di negeri berkenaan. Rakyat dapat hidup aman damai dengan sistem ini tanpa kekacauan atau haru-biru kerana kita percaya bahawa kita mempunyai seorang raja berdaulat yang merupakan pemerintah tertinggi negara kita bergelar Yang di-Pertuan Agong,”
“Kita hendaklah menumpahkan taat setia kepada Baginda selaras dengan ikrar Rukun Negara yang telah kita lafazkan,” katanya.
Tanggal 20 Julai 2024 esok, merupakan suatu detik bersejarah buat Negara apabila Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bakal disempurnakan di Istana Negara.
Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-17 yang telah berlangsung pada 31 Januari 2024 lalu, menandakan permulaan pemerintahan Baginda selama lima tahun sekaligus menzahirkan bahawa Institusi Yang di-Pertuan Agong sentiasa dipertahankan dalam usaha menjamin kesejahteraan dan keharmonian rakyat dan negara ini seluruhnya.
Baca juga: