Seramai 1,250 pegawai dan anggota polis terbabit dalam penugasan Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan (JSPT), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, penugasan itu sepanjang istiadat berkenaan yang bermula 18 hingga 27 Julai ini.
“Bagi memastikan kelancaran istiadat ini, semua pegawai dan anggota polis yang terbabit turut membuat raptai sejak 10 Julai lalu sebagai persediaan.
“Ini bagi memastikan supaya semua pegawai dan anggota polis bertugas bukan sahaja dari JSPT tetapi juga dari kontinjen lain yang membantu faham tugas masing-masing,” katanya.
Yusri berkata, pihaknya menjalankan tiga tugas utama sepanjang istiadat itu iaitu mengiringi orang kenamaan (VIP), mengawal lalu lintas dan melaksanakan penguatkuasaan undang-undang.
“Pada acara hari ini, seramai 378 pegawai dan anggota ditugaskan bagi ketiga-tiga tugas utama berkenaan,” katanya.