Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 yang akan berlangsung dalam suasana penuh tradisi dan adat raja-raja Melayu di Istana Negara hari ini, melakar satu lagi peristiwa bersejarah dan signifikan bagi negara Malaysia.
Istiadat penuh gilang-gemilang itu pastinya dinantikan oleh 34 juta rakyat Malaysia, selain menjadi tumpuan masyarakat antarabangsa.
Peristiwa bersejarah hari ini menyaksikan penglibatan 377 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) daripada cabang darat, laut dan udara yang memainkan peranan penting daripada sekecil-kecil tugasan sebagai pembuka pintu kenderaan diraja sehinggalah membentuk Kawalan Kehormatan Utama untuk mempersembahkan Hormat Diraja.
Di samping itu, sebanyak 14 jalan di sekitar ibu kota ditutup secara berperingkat bermula pukul 8 pagi untuk acara Istiadat Pertabalan dan pukul 8 malam bagi Majlis Santapan Diraja.
Khutbah Jumaat khas sempena istiadat pertabalan bertajuk ‘Raja Ditaati, Negara Dirahmati’ menyebut istiadat hari ini sangat signifikan kerana selain menjadi lambang sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia, istiadat itu juga menjulang tinggi darjat Seri Paduka Baginda sebagai payung negara.
Menurut khutbah, Sultan Ibrahim ketika melafazkan sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari lalu menekankan dengan jelas akan menjalankan pemerintahan dengan adil menurut undang-undang dan Perlembagaan.
Pertabalan jawatan ketua negara itu adalah salah satu daripada keunikan Malaysia yang tidak dimiliki oleh negara-negara lain.
Sebagai rakyat Malaysia, kita harus berbangga dengan warisan yang dimiliki dan dalam masa sama sentiasa berusaha mempertahankannya.
Istiadat bersejarah itu akan dihadiri kira-kira 700 tetamu termasuk raja-raja Melayu, Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri, perwakilan diplomatik asing di negara ini serta pemimpin-pemimpin utama negara.
Tetamu diraja dari luar, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Bahrain Sheikh Hamad bin Isa Al Khalifa juga dijadual berangkat ke istiadat itu.
Baca juga: