Wanita warga Thailand ditemui maut dengan kesan tembakan

Mayat seorang wanita dipercayai ditembak ditemui di kawasan Durian Burung, Padang Terap, Kedah pada Sabtu.

Mangsa, yang dianggarkan berusia dalam lingkungan 30-an, ditemukan oleh orang awam dalam keadaan terbaring di tepi jalan.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintenden Mulkiaman Manzar mengesahkan kejadian tersebut dan menyatakan bahawa polis menerima laporan berhubung penemuan mayat pada jam 7 petang Sabtu.

“Sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian dan menemui mayat seorang wanita dalam keadaan terbaring dengan kesan tembakan di badan.

Hasil siasatan awal menunjukkan wanita tersebut dipercayai warga Thailand tetapi siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya, lapor Astro Awani.

Mulkiaman juga menyatakan bahawa mayat wanita tersebut telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat dan polis sedang giat mengesan suspek yang dipercayai melarikan diri.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh dijangka akan mengadakan satu sidang media dalam masa terdekat untuk memberikan maklumat lanjut mengenai kejadian ini.

Baca juga: