Dua orang lelaki dipercayai lemas semasa bermandi-manda di Pantai Awam Batu Layar, Batu Damai, Kota Tinggi, Johor pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati dua orang lelaki berbangsa Melayu berumur 20 dan 26 tahun berasal dari Johor Bahru telah hilang semasa bermandi-manda sekitar pukul 9.15 pagi.
“Susulan itu, Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) telah dibuka untuk tugas Search and Rescue (SAR).
“Lebih kurang pukul 3.15 petang, pasukan SAR telah mayat, Muhammad Syahmie Zamzam, 26, yang berada di dalam air laut lebih kurang 50 meter dari persisir pantai,” katanya dalam satu kenyataan.
Walaubagaimanapun, mayat mangsa yang ditemui telah dicamkan secara positif oleh waris mangsa dan kemudiannya dihantar ke Unit Forensik, Hospital Kota Tinggi untuk prosedur siasatan lanjut.
Manakala, media melaporkan mayat seorang lagi mangsa iaitu Haqim Abdul Rahim Lee, 20, berjaya ditemui pada pagi Isnin yang tersangkut di celahan batu di pantai berkenaan.
Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai, Mohammad Saifulizam Mohd Rofi, mangsa ditemui pada jarak satu kilometer daripada lokasi terakhir mangsa dilihat pada pukul 7.45 pagi.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Kota Tinggi bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Difahamkan, penugasan SAR telah melibatkan agensi penyelamat terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Tinggi, Pasukan Polis Marin (PPM) Pengerang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Majlis Perbandaran Pengerang (MPP).
Baca juga: