HASiL perluas asas cukai menerusi Ops Bayu

Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) telah melancarkan Operasi Pematuhan Khas Ops Bayu bagi menangani isu ketidakpatuhan cukai serta menyokong usaha kerajaan memperkukuh asas fiskal dan membawa ekonomi negara ke landasan yang lebih baik.

Operasi yang berlangsung selama empat hari bermula 16 hingga 19 Julai itu disertai oleh 45 pegawai daripada HASiL Sabah dan Jabatan Perisikan dan Profiling dan dilaksanakan di sekitar daerah Semporna, Sabah.

Majlis pelepasan operasi itu disempurnakan oleh Pengarah HASiL Sabah, Azrul Hisham Shamsudin bersama barisan pengurusan kanan HASiL negeri.

Dalam ucapannya, Azrul Hisham berkata, beliau optimis operasi ini dapat memperluaskan jaringan cukai dan pengumpulan maklumat bagi memastikan semua zon ekonomi termasuk kawasan terpencil telah direkodkan dalam data HASiL khususnya bagi negeri Sabah.

“Operasi seumpama ini akan terus dipergiat supaya tahap pematuhan cukai di kawasan tumpuan pelancong ini dapat ditingkatkan sekagi gus mengurangkan ketirisan cukai.

“Pelaksanaan operasi ini diharap mencapai objektifnya dalam menyokong agenda pembesaran asas cukai serta meningkatkan kadar pematuhan dalam kalangan masyarakat ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan sepertimana digariskan di bawah kerangka Ekonomi MADANI,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Justeru, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat atau mempunyai pertanyaan mengenai percukaian, boleh menghubungi HASiL menerusi Pusat Panggilan di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1000 (Luar Negara), atau menerusi Live Chat, atau menerusi Borang Maklum Balas di Portal Rasmi HASiL di https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/.

Baca juga:



Anda Mungkin Berminat