Seorang lelaki warga tempatan berjaya ditahan selepas disyaki memproses dan menjual air ketum di sebuah kediaman setingkat sekitar Taman Saujana, Pontian, Johor pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Pontian, Suprintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, lelaki berusia lingkungan 54 tahun itu ditangkap kira-kira pukul 3 petang pada Khamis lalu.
Menurutnya, suspek ditangkap bersama sejumlah rampasan cecair disyaki air ketum dan tumbuhan hijau disyaki daun ketum.
“Hasil ujian saringan awal air kencing suspek didapati negatif daripada sebarang jenis dadah. Manakala hasil semakan rekod lampau, didapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau berkaitan jenayah mahupun dadah.
“Modus operandi suspek ini adalah menjadikan tempat kediaman sebagai tempat memasak dan memproses serta membungkus air ketum dan suspek mula bergiat aktif memproses air ketum pada hujung Mei 2024,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, operasi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Pontian telah berjaya membuat rampasan sebanyak 16 botol (1.5 liter) air ketum (A.B.K 24 liter) dan satu bungkusan plastik yang mengandungi daun ketum (A.B.K 3000 gram).
Selain itu, turut dirampas beberapa peralatan disyaki digunakan untuk memasak memproses dan membungkus air ketum.
“Suspek telah direman selama empat hari bermula 19 hingga 22 Julai 2024 untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara tidak lebih lima tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Justeru, pihak polis berharap orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti salah yang berlaku di sekeliling mereka di talian 012-2087222 atau hotline IPD Pontian di talian 07-6869999.
Baca juga: