Polis tahan tiga mat rempit dalam Ops Samseng Jalanan di Johor Bahru

Polis menahan tiga lelaki warga tempatan yang melakukan aksi berbahaya di jalan raya dalam Operasi Samseng Jalanan yang dilaksanakan di sekitar Jalan Skudai, Pantai Lido, Johor Bahru pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat melaporkan kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan umur 24 hingga 30 tahun itu didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Selain penahanan tersebut, polis turut menahan seorang remaja berusia 16 tahun yang melakukan kesalahan dibawah Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Dalam operasi sama, polis telah mengeluarkan sebanyak 78 keping saman dan 22 buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan.

Raub turut menyatakan saman tersebut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai lesen memandu, ubah suai struktur kenderaan dan pelbagai kesalahan lain.

Operasi Samseng Jalanan tersebut melibatkan seramai tujuh orang anggota polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Johor Bahru Selatan yang diketuai oleh inspektor bahagian tersebut.

Baca juga: