RM50 juta disalurkan kepada 120 ribu penerima menerusi BUDI MADANI

Penyasaran semula subsidi diesel melalui BUDI MADANI memanfaatkan hampir RM50 juta kepada 120 ribu penerima yang layak bagi menampung kesan kenaikan harga diesel.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, melalui pendekatan penyasaran semula subsidi diesel, ia dapat menjana penjimatan sebanyak RM4 bilion kepada kerajaan.

“Sebanyak RM2,400 setahun atau RM200 sebulan kepada pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak termasuk petani kecil dan pekebun kecil komoditi dapat mengimbangi kesan kenaikan harga diesel tanpa menjejaskan pendapatan boleh guna kumpulan sasar.

“Keberkesanan inisiatif BUDI MADANI sejak pelaksanaan penyasaran diesel pada 10 Jun dapat dilihat pada data yang menunjukkan pengurangan ketara jualan diesel dari stesen minyak.

“Menerusi penjimatan itu, ia dapat kita salurkan untuk penambahbaikan infrasturktur awam”, katanya dalam persidangan Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian, bagi menjawab soalan Senator Datuk Dr. Azhar yang menyatakan sejauh manakah keberkesanan Program Bantuan Subsidi MADANI atau BUDI MADANI kepada pemilik kenderaan diesel persendirian bagi individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi.

Mengulas lanjut mengenai soalan tambahan bagaimana BUDI MADANI Agri-komoditi dapat diwar-warkan kepada rakyat Malaysia, Amir Hamzah memaklumkan bahawa kerajaan amat komited bagi memastikan tiada yang tercicir meneirma insentif berkenaan.

Jelasnya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan agensi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melalui portal GeoAgro sedang giat mengadakan sesi libat urus bagi membolehkan pendaftaran para petani dan pekebun dibuat secara lansung.

“Setakat ini sebanyak lebih 100 sesi telah diadakan oleh KPKM dan KPK serta jabatan dan agensi di pelbagai lokasi seluruh negara.

“Kerajaan akan sentiasa memantau situasi semasa termasuk pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel dan akan membuat penambahbaikan dari semasa ke semasa.

“Hal ini supaya golongan yang benar-benar layak akan terus mendapat perhatian kerajaan dalam mendepani cabarna kos sara hidup,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat