Inflasi Malaysia kekal 2.0 peratus pada Jun

Inflasi Malaysia kekal 2.0 peratus pada Jun 2024 dengan mata indeks mencatatkan 133.0 berbanding 130.4 pada bulan yang sama tahun 2023.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi satu kenyataan memaklumkan, peningkatan inflasi tersebut didorong oleh peningkatan bagi beberapa kumpulan utama.

Menurutnya, ia termasuk restoran dan perkhidmatan penginapan (3.3 peratus), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api Lain (3.2 peratus), penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.8 peratus) dan makanan dan minuman (2.0 peratus).

“Manakala, pakaian dan kasut serta insurans dan perkhidmatan kewangan masing-masing menurun kepada negatif 0.1 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya,” katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin menyatakan, inflasi kumpulan makanan dan minuman mencatatkan peningkatan 2.0 peratus pada Jun.

“Inflasi keseluruhan secara bulanan merekodkan kenaikan 0.2 peratus,” katanya.

Sementara itu, inflasi teras meningkat 1.9 peratus pada Jun, kadar yang sama seperti yang direkodkan pada Mei tahun ini.

“Bagi inflasi di peringkat negeri, kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional 2.0 peratus,” jelasnya.

Difahamkan, empat negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Pulau Pinang (3.3 peratus), Sarawak (2.7 peratus), Pahang (2.7 peratus), dan Selangor (2.4 peratus).

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat