Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil menyatakan isu jenayah dalam talian dalam keadaan yang membimbangkan pada akhir-akhir ini.
Kenyataan itu dibuat menerusi satu hantaran di Facebooknya selepas mendengar taklimat daripada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Raja Nurshirwan Zainal Abidin, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain pada Rabu.
“Isu jenayah dalam talian sangat membimbangkan. Trend menunjukkan jenayah tradisional telah mula ‘berpindah’ ke cyberspace termasuk media sosial.
“Pagi ini saya mendengar taklimat bersama Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, dan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil.
“Insya-Allah kita akan usahakan yang terbaik untuk memastikan internet termasuk media sosial lebih selamat untuk semua,” katanya.
Terdahulu, Malaysia dikejutkan dengan kes kematian seorang pempengaruh media sosial, Rajeswary Appahu yang dilaporkan membunuh diri akibat buli siber.
Kejadian itu menerima perhatian ramai pihak yang menggesa kerajaan untuk melaksanakan satu undang-undang bagi mencegah jenayah dalam media sosial semakin berleluasa.
Sementara itu, Fahmi turut pernah menyatakan kementeriannya bakal merangka beberapa langkah dalam memastikan internet selamat digunakan kerana siber buli bukan sahaja dilaporkan berlaku pada aplikasi TikTok malah di laman media sosial lain seperti Facebook dan WhatsApp.
Baca juga: