Seorang wanita dipercayai warga tempatan meninggal dunia selepas dilanggar oleh sebuah kenderaan ketika sedang melintas jalan di seberang jalan Sekolah Menengah Kebangsaan Damai Jaya, Jalan Aman, Taman Damai Jaya, Johor pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Kumarasan Muniandy berkata, pihaknya mengesan kemalangan yang membabitkan wanita berusia 62 tahun itu berlaku kira-kira pukul 6.50 pagi.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan ini berlaku apabila mangsa dipercayai sedang melintas jalan dan telah dilanggar oleh kenderaan jenis tidak pasti.
“Mangsa mengalami kecederaan parah di perut akibat digilis dan mayat telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan.
Kumarasan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Justeru, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kemalangan itu boleh hubungi pejabat pertanyaan di talian 07-5101322.
Baca juga: