Polis berjaya merungkai kegiatan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes penipuan bantuan eKasih sejak Januari lalu membabitkan kerugian sebanyak RM16,250 dengan mensasarkan golongan warga emas sebagai mangsa.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pihaknya berjaya menahan suspek berusia 49 tahun itu di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, Kedah pada 2 Julai lalu setelah menerima 38 laporan mengenai kes penipuan berkenaan.
“Suspek menggunakan modus operandi mendampingi warga emas berusia lingkungan antara 50 hingga 80 tahun sebagai sasaran untuk diperdayakan.
“Kebanyakan mangsa ditemui suspek di kawasan berhampiran hospital, bank, medan selera, pasar raya, pasar awam dan stesen bas.
“Suspek menyamar kononnya sebagai Pegawai Bantuan eKasih dan meminta mangsa menyerahkan wang tunai kira-kira RM300 sehingga RM1,000 bagi proses permohonan bantuan eKasih dan pembukaan akaun bank.
“Setelah memperoleh wang tunai dari mangsa, suspek akan berpura-pura keluar daripada bank tersebut bagi membuat salinan fotokopi kad pengenalan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, mangsa yang diminta menunggu di bank hanya menyedari telah ditipu apabila suspek tidak datang kembali selain suspek turut melarikan wang tunai serta kad pengenalan mangsa.
Azizi berkata sebuah telefon bimbit dan pakaian yang digunakan suspek semasa memperdayakan mangsa turut dirampas dan hasil semakan mendapati suspek mempunyai 12 rekod jenayah lampau berkaitan kes penipuan.
Difahamkan, suspek akan menghadapi 36 pertuduhan di beberapa mahkamah di Perak bermula 24 Julai ini di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 417 kanun sama.
Justeru, polis menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada terhadap sebarang tawaran bantuan kewangan dari mana-mana individu tidak dikenali yang meminta bayaran proses terlebih dahulu.
“Semak dahulu dengan agensi berkaitan untuk pengesahan,” katanya.
Baca juga: