Norza terpilih sebagai naib presiden OCA Zon Asia Tenggara

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria bakal menjadi naib presiden bagi Zon Asia Tenggara pada perhimpunan agung Majlis Olimpik Asia (OCA) yang dijadualkan pada 8 September 2024 di New Delhi, India.

Pencalonan Norza tanpa bertanding, menandakan satu pencapaian terbaik negara selepas menjadi wakil kedua dalam memegang jawatan tinggi itu setelah hampir empat dekad.

Perhimpunan agung OCA bakal menjalankan pemilihan bagi jawatan lembaga eksekutifnya untuk penggal 2024-2028.

Selain itu, pemilihan jawatan tersebut turut memerlukan seorang presiden, lima naib presiden mewakili lima zon, lima ahli dari setiap zon yang berlainan jantina kepada naib presiden masing-masing dan dua wakil dari Jawatankuasa Atlet OCA.

Dalam masa sama, 15 pengerusi jawatankuasa tetap berkanun turut akan dipilih.

Norza, merupakan calon yang dipilih Malaysia pada 12 Julai lalu, menerima sokongan penuh 10 ahli Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan yang lain di Asia Tenggara (Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Timor-Leste dan Vietnam).

“Saya berasa rendah hati dan berbesar hati dicalonkan sebagai calon tunggal bagi jawatan naib presiden OCA bagi Zon Asia Tenggara.

“Saya turut berbangga menjadi orang kedua dari Malaysia, selepas Tan Sri Hamzah (Abu Samah), yang dipilih sebagai naib presiden OCA selepas hampir empat dekad,” katanya dalam satu kenyataan pada malam Selasa.

Penglibatan meluas Norza dalam Pergerakan Olimpik OCA termasuk berkhidmat dalam Jawatankuasa Perhubungan Antarabangsa OCA pada tahun 2019 hingga 2023 dengan mempengerusikan Jawatankuasa OCA Sports for All pada tahun 2023, selain, mengambil bahagian dalam Jawatankuasa Penyelarasan OCA bagi Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.

Jawatankuasa Pilihan Raya OCA juga telah mengesahkan bahawa pemangku presiden OCA, Randhir Singh adalah calon tunggal yang layak bagi pilihan raya presiden, disokong oleh 27 ahli Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan OCA.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat