Pengambilan alkohol secara berlebihan boleh mendatangkan bahaya pada badan sehingga boleh membuatkan seseorang itu hilang kawalan atau khayal dan minuman keras itu tidak digalakkan sama sekali lebih-lebih lagi buat golongan di bawah umur yang masih bersekolah.
Oleh itu, mempromosi pengambilan alkohol dengan tujuan sebagai pengumpulan dana di sekolah bertentangan dengan nilai-nilai sihat yang cuba dipromosikan oleh sekolah.
Demikian yang dipersoalkan oleh bekas Ahli Parlimen Parti Tindakan Demokratik (DAP), Kua Kia Soong bahawa syarikat rokok juga boleh melakukan perkara yang sama atau sebaliknya.
“Iklan oleh syarikat rokok tidak lagi dibenarkan kerana kita tahu bahawa papan iklan dan iklan bersifat sugestif dan boleh membawa kepada ketagihan tembakau.
“Pengurus pemasaran akan tahu bahawa iklan untuk aktiviti pengumpulan dana oleh kilang bir di sekolah mempunyai kesan sugestif yang sama, dan itulah sebabnya mereka memulakan kempen pengumpulan dana ini sejak awal lagi.
“Janganlah kita berpura-pura bahawa kempen pengumpulan dana seperti ini tidak bertujuan untuk promosi pengiklanan,” katanya menurutnya menerusi satu kenyataan pada Rabu.
Kia Soong berkata, perkara seperti itu boleh merosakkan nilai teras pendidikan bagi anak-anak muda dan mesej yang cuba disampaikan boleh menyebabkan kekeliruan sama ada ia dianggap normal tentang kehadiran alkohol.
“Kesan itu secara tidak langsung boleh mencadangkan kepada fikiran muda bahawa pengambilan alkohol adalah sebahagian yang biasa dan boleh diterima dalam kehidupan seharian, berpotensi mengurangkan risiko yang dirasakan berkaitan dengan minum.
“Selain itu, kanak-kanak sangat mudah dipengaruhi dan sokongan perniagaan berkaitan alkohol oleh sekolah mereka boleh memberi impak yang besar kepada persepsi mereka.
“Dalam pada itu, kehadiran iklan kilang arak dalam konteks berkaitan sekolah boleh menghantar mesej yang bercampur-campur kepada ibu bapa dan komuniti secara umum,” jelasnya.
Tambah beliau, sekolah perlu mengekalkan standard etika tertentu dan mempromosikan tingkah laku positif agar tidak merosakkan serta menimbulkan kebimbangan untuk mewujudkan persekitaran yang selamat untuk kanak-kanak.
Baca juga: