Kunjungan ke Hospital Sungai Bakap pastikan penduduk terima perkhidmatan kesihatan berkualiti

Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek mengadakan kunjungan hormat ke Hospital Sungai Bakap, Pulau Pinang pada Khamis untuk memahami dengan lebih mendalam operasi dan cabaran hospital berkenaan.

Dalam kunjungan tersebut, Fadhlina yang juga merupakan Menteri Pendidikan diberikan taklimat komprehensif mengenai aspek operasi hospital termasuk cabaran semasa dan inisiatif peningkatan perkhidmatan kesihatan yang sedang dilaksanakan.

“Ia termasuk usaha-usaha mempertingkatkan kemudahan dan memastikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti untuk penduduk setempat.

“Saya berasa amat bertanggungjawab untuk memastikan kemudahan kesihatan di kawasan ini berada dalam keadaan terbaik.

“Lawatan ini adalah sebahagian daripada usaha saya untuk mengenal pasti keperluan hospital dan mencari jalan penyelesaian kepada cabaran yang dihadapi,” katanya dalam kenyataan.

Dengan maklumat yang diperoleh, Fadhlina berharap dapat memperjuangkan lebih banyak bantuan dan sokongan untuk Hospital Sungai Bakap.

Beliau juga berbincang dengan pihak pengurusan hospital mengenai cara-cara untuk meningkatkan lagi perkhidmatan kesihatan di Parlimen Nibong Tebal.

Dalam pada itu, Fadhlina merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua kakitangan Hospital Sungai Bakap atas dedikasi dan komitmen mereka dalam memberikan rawatan terbaik kepada pesakit.

Beliau turut menyatakan bahawa kerjasama antara pejabatnya dan hospital adalah penting untuk memastikan kesihatan masyarakat terjamin.

Kunjungan hormat tersebut dihadiri oleh Pengarah Hospital Sungai Bakap, Dr Nazmi serta Timbalan Pengarah Hospital Sungai Bakap, Dr Savithiri.

Turut dihadiri dalam sesi tersebut, wakil dari Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi dan Pejabat Penyelaras KADUN Sungai Bakap serta ketua-ketua unit hospital berkenaan.

Baca juga: