Seramai 142,510 bebas status bankrap setakat Jun lalu – PM

Setakat Jun lalu, seramai 142,510 individu bebas daripada status bankrap menerusi Dasar Peluang Kedua dan melepasi sasaran ditetapkan kerajaan sebelum ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara tersebut adalah satu pencapaian baik oleh Jabatan Insolvensi Malaysia dalam memberi peluang kedua kepada kelompok terjejas untuk meneruskan kehidupan dan memulihkan semula perniagaan.

Selepas Akta Insolvensi (Pindaan) 2023 berkuat kuasa, Kerajaan sebelum ini meletakkan sasaran pelepasan seramai 130,000 orang yang diisytiharkan bankrap hingga tempoh masa satu tahun.

“Dasar Peluang Kedua kita anjurkan supaya ada langkah-langkah yang perlu diketahui oleh mereka. Pertama jangan ulangi kesilapan lalu.

“Kedua, memahami peluang-peluang yang disediakan oleh kerajaan melalui rangkaian jabatan dan kementerian yang pelbagai seperti Tekun, MARA atau PUNB,” katanya pada Majlis Perasmian Sambutan 100 Tahun Jabatan Insolvensi Malaysia dan Halatuju Baharu, pada Khamis.

Beliau berkata, kerajaan ada meyediakan Sumbangan Tunai Rahmah berjumlah RM10 bilion setahun kepada sembilan juta rakyat B40 dan M40.

Inisiatif berkenaan dapat meringankan bebanan mereka dalam menjalankan perniagaan serta kegiatan baharu untuk menambahkan pendapatan.

“Agenda Dasar Peluang Kedua tidak terhenti setakat pelepasan bankrap sahaja.

“Dasar ini turut menyasarkan pentadbiran insolvensi yang berkesan melalui pengurusan dan penghasilan harta insolvensi yang cekap dan berkesan termasuk harta melibatkan syarikat yang telah digulungkan,” katanya.

Untuk itu, kerajaan melalui Jabatan Insolvensi Malaysia telah mempertingkatkan jalinan kerjasama strategik bersama agensi kerajaan dan swasta melalui Persatuan Pengamal Insolvensi Malaysia dalam usaha memperkasakan pengurusan dan penghasilan harta insolvensi.

Baca juga: