4 penyanyi bergandingan dalam lagu penuh kontroversi, ‘Poligami’

Komposer dan penyanyi, Eddie Hamid kembali mewarnai industri hiburan tanah air dengan lagu genre pop dance bertajuk Poligami hasil nyanyiannya bersama tiga penyanyi lain termasuk Aris Kapilla, Man Khan dan Kamarool.

Eddie, atau nama sebenarnya Abdul Hamid bin Adenan, 62, yang juga komposer kepada lagu dalam dialek Kelantan itu turut mengakui kaum Hawa sudah tentu akan berasa sensitif dengan tajuk lagu berkenaan namun dia menekankan bahawa ada sebab yang mahu diketengahkan menerusi judul lagu tersebut.

“Saya tahu perkataan poligami cukup sensitif dalam kalangan wanita namun idea mulai timbul untuk saya hasilkan lagu ini berdasarkan situasi semasa dimana banyak kes ‘penyondol’ (perampas) pada masa kini.

“Ada mesej yang ingin saya sampaikan menerusi lagu ini dan janganlah ‘dipangkah’ lebih awal hanya kerana judul lagu tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Namun, Eddie tidak menggalakkan amalan poligami tersebut dan menekankan bahawa lelaki perlu memikul tanggungjawab yang berat dan bukan hanya memenuhi permintaan hati sendiri sahaja.

Lebih menariknya, lagu tersebut merupakan kerjasama pertama Eddie bersama Kamarool yang jelas menunjukkan kelainan terutama sekali dia akan menyanyikan bahagian rap dalam lagu tersebut.

“Saya sudah biasa bekerjasama dengan Man Khan dan Aris Kapilla kerana sudah beberapa lagi kami berduet tapi dengan Kamarool ini kali pertama.

“Kehadiran Kamarool adalah untuk menunjukkan kelainan kerana dia menyanyi untuk bahagian rap. Walaupun pertama kali terlibat dalam rakaman lagu, Kamarool amat profesional dan mudah bekerjasama dengan dia,” jelas Eddie.

Dalam pada itu, Eddie turut menyatakan harapan agar lagu Poligami tersebut akan mendapat sambutan seperti lagu ciptaannya, Cinta Setandan Pisang hasil nyanyian Eda Ezrin dan Den Manjo.

Lagu Poligami terbitan Kijang Music boleh distrim di semua platform digital bermula 14 Jun lalu dan di saluran YouTube Kijang Music.

Baca juga: