Busana yang dicipta khas bagi perarakan Upacara Pembukaan Olimpik Paris 2024 tidak menerima sambutan yang memuaskan daripada masyarakat tempatan.
Pakaian yang dicipta khas oleh pereka fesyen terkemuka tanah air, Rizman Ruzaini yang diinspirasikan daripada warisan Malaysia dengan bercorak songket dan kelubung untuk wanita serta Baju Melayu Teluk Belanga untuk lelaki dianggap tidak mempamerkan budaya dan tradisi negara yang sebenar.
Pakaian tradisional yang diberikan nama “The Malaya” itu, dianggap kurang mencerminkan perbezaan bangsa yang ada di Malaysia dengan warnanya yang dianggap ‘kelam’ dan tidak mempunyai daya tarikan.
Bagaimanapun, masih ada yang menganggap sentuhan pereka fesyen itu sebagai satu ciptaan yang ringkas tapi masih berkonsepkan elegan dan klasik yang sesuai diperagakan di pentas temasya itu meskipun ramai yang membandingkan pakaian tersebut dengan busana pada edisi-edisi sebelum ini.
Pada Januari 2024, Rizman Ruzaini telah dijemput oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk menyertai Malam Olimpik 2024 yang diadakan di Kuala Lumpur bertujuan bagi memberikan peluang kepada pereka tempatan untuk mempamerkan visi mereka ke atas pakaian yang akan dipakai oleh atlet negara pada majlis perasmian Sukan Olimpik ke-33 itu.
Majlis perasmian Olimpik Paris 2024 dijadualkan bermula pada pukul 7.30 malam Jumaat (1.30 pagi Sabtu masa tempatan).
Malaysia dilaporkan menghantar sejumlah 26 atlet dan 40 pegawai yang dipercayai atlet wanita akan memakai baju tersebut.
Baca juga: