Cabaran sukar menanti pemanah negara di Paris 2024

Trio memanah negara bakal berdepan laluan sukar dalam usaha menyumbangkan pingat buat negara di Sukan Olimpik Paris 2024 selepas menamatkan aksi kelayakan di kedudukan ke-14 secara keseluruhan pada petang Khamis.

Meskipun atlet negara berjaya melakukan catatan peribadi, namun, pemanah dari Korea Selatan, Lim Sihyeon memberikan amaran awal kepada semua pesaing-pesaingnya dengan mengungguli saingan tersebut dan mencipta rekod baharu dunia selepas mengumpul 694 mata.

Sihyeon turut memadamkan rekod lama yang dicipta rakan senegaranya, Kang Chaeyoung dengan 692 mata.

Dalam saingan penentuan ranking yang berlangsung di Invalides itu, Syaqiera Mashayikh berjaya menamatkan saingan di ranking ke-14 meskipun pada awal aksi menduduki kelompok keenam terbaik namun, beliau terpaksa akur apabila panahannya merosot di babak kedua dan menamatkan saingan dengan 663 mata.

Syaqiera dijadualkan bertemu pemanah dari Moldova, Alexandra Mirca di saringan 1/32 pada Selasa depan.

Manakala, dua lagi pemanah negara Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, berada di ranking ke-50 dalam aksi pertamanya di temasya tersebut dengan 633 mata dan Nurul Azreena Mohamad Fazil di kedudukan ke-60 selepas mengumpul 622 mata.

Ariana akan berdepan lawan dari Itali, Chiara Rebagliati pada saringan 1/32 pada Khamis depan, manakala, Nurul Azreena dijadualkan menentang Elif Berra Gokkir dari Turkiye.

Sekadar info, pemanah yang menduduki ranking teratas akan bertemu dengan pemanah ranking tercorot di pusingan kalah mati sehingga menuju ke pentas final.

Bagi acara berpasukan pula, trio negara terpaksa berpuas hati berada di kedudukan ke-10 daripada 12 negara selepas berjaya mengumpul 1,918 mata dan dijadualkan menentang Indonesia pada aksi saringan 1/8 pada Ahad.

Baca juga:

https://malaysiabangkit.com/2024/07/25/olimpik-paris-2024-belum-mula-secara-rasmi-jurulatih-kanada-dihantar-pulang-akibat-dron/