Fadillah wakili Malaysia ke Vietnam, hadiri upacara penghormatan terakhir Nguyen Phu Trong

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mewakili Malaysia ke Rumah Pengebumian di Hanoi, Vietnam pada Jumaat untuk memberi penghormatan terakhir buat Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komuniti Vietnam (PKV), Nguyen Phu Trong.

Fadillah selamat tiba di Hanoi pada pukul 7.05 malam waktu tempatan bersama delegasi Malaysia yang turut hadir bersamanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan buat beberapa wakil kerajaan Vietnam yang menyambut ketibaannya bersama delegasi.

“Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada Timbalan Ketua Pengarah bagi Asia Tenggara, Asia Selatan, dan Pasifik Selatan dari Kementerian Luar Negeri Vietnam, Tran Thanh Tung kerana menyambut ketibaan saya dan delegasi Malaysia.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) dari Wisma Putra, Datuk Ahmad Rozian Abd Ghani; Duta Besar Malaysia ke Vietnam, Datuk Tan Yang Thai dan seluruh warga Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Hanoi yang menyambut ketibaan kami pada malam ini,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Nguyen Phu Trong dilaporkan meninggal dunia pada usia 80 tahun 19 Julai lalu kerana sakit tua dan selepas sakit teruk.

Perkara tersebut disahkan oleh lembaga perlindungan dan penjagaan kesihatan pegawai pusat di Vietnam.

Baca juga: