Kerjasama baharu bersama Roche Malaysia tingkatkan penjagaan kesihatan negara – Dzulkefly

Syarikat farmaseutikal global dalam bidang diagnostik, Roche mampu membawa khidmat penjagaan kesihatan lebih dekat kepada komuniti dan keluarga, selari dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan pihak Roche Malaysia di ibu pejabat mereka di The Pinnacle, Bandar Sunway.

“Ia adalah selari dengan hasrat Agenda Nasional Malaysia Sihat, ANMS untuk memperkasa individu dan komuniti dalam kawalan kesihatan kendiri,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pertemuan tersebut, beliau berpeluang melawat Pusat Inovasi yang dimiliki oleh syarikat tersebut dan menyatakan bahawa perbincangan dengan Roche Malaysia bukan sahaja tertumpu kepada penyelesaian untuk pengamal perubatan dan pesakit, tetapi juga untuk kerajaan.

Beliau menekankan pentingnya memastikan setiap individu mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan yang adil dan berkualiti.

Dalam isu rawatan kanser, Dzulkefly mengakui masih terdapat ramai rakyat Malaysia yang perlu berulang-alik jauh untuk mendapatkan rawatan.

“Ini (kesaksamaan akses kesihatan) adalah antara cabaran lain yang perlu kita atasi, selain daripada agenda pendigitalan dan penyelidikan,” ujarnya.

Dzulkefly juga yakin bahawa kerjasama dengan Roche Malaysia dapat diperkukuh untuk meningkatkan sistem penjagaan kesihatan negara dan menegaskan bahawa kerjasama baharu perlu dijalin demi kepentingan rakyat.

Dalam lawatan tersebut, perbincangan turut menjurus kepada penyelesaian inovatif yang boleh diambil oleh kerajaan untuk memperbaiki sistem penjagaan kesihatan.

Beliau turut menyatakan harapan agar masalah-masalah yang dihadapi oleh sistem penjagaan kesihatan dapat diatasi dengan lebih berkesan hasil kerjasama dengan Roche Malaysia.

Lawatan dan perbincangan Dzulkefly dengan Roche Malaysia menunjukkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh dan meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan di negara termasuk memperluas akses kepada rawatan, memperkasa komuniti dalam kawalan kesihatan kendiri dan memastikan inovasi dalam bidang kesihatan terus berkembang.

Baca juga: