4 lelaki diberkas bersama tiga pucuk pistol

Polis berjaya menahan empat lelaki dan merampas tiga pucuk pistol bersama sejumlah peluru menerusi serbuan berasingan di sekitar Sungai Bakap, Nibong Tebal, Pulau Pinang pada Ahad.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, kesemua suspek yang ditahan itu dikehendaki selepas terlibat dalam pergaduhan pada 13 Jun lalu.

Menurutnya, tangkapan pertama membabitkan suspek berusia 27 tahun di Juru sebelum membawa kepada penahanan tiga lagi berusia antara 19 hingga 24 tahun.

“Hasil pandu arah salah seorang suspek ke rumahnya di Sungai Bakap telah membawa kepada penemuan dua pucuk pistol angin jenama WE Tactical bersama kelopak tanpa peluru.

“Turut dijumpai bersama adalah masing-masing satu kelopak jenama BBloader Made in China, botol tertera tulisan Green Gas dan bungkusan galas bebola plastik berwarna putih.

“Susulan itu, bertindak atas maklumat suspek, polis menyerbu sebuah pejabat di Kampung Baru Valdor Sungai Bakap sebelum merampas sepucuk pistol jenis Glock tertera tulisan Austria, peluru tertera tulisan WCC 17, tiga peluru S&B Auto 45 dan peluru PMC Auto 45,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut Hamzah berkata, hasil semakan lanjut mendapati salah seorang daripada suspek itu memiliki rekod lampau berkaitan dadah.

“Kesemua mereka direman selama lima hari bermula semalam sehingga 1 Ogos bagi siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat), Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat