Pendapatan eksport industri koko Malaysia sehingga Mei 2024 telah mencapai kira-kira 58 peratus berbanding pencapaian tahun lepas.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan dan Komoditi (KPK), pendapatan eksport sehingga Mei tahun ini telah mencapai sebanyak RM4.8 bilion berbanding RM8.2 bilion sepanjang 2023.
Kenyataan tersebut turut memaklumkan kawasan pedalaman Sabah telah menunjukkan pencapaian pengeluaran koko sebanyak 37.5 peratus daripada jumlah pengeluaran koko negara.
“Beberapa pekebun kecil koko di kawasan tersebut telah berjaya mengeluarkan hasil tinggi koko sebanyak lebih 1,000 kilogram (kg) per hektar per tahun berbanding produktiviti nasional sebanyak 100kg per hektar per tahun.
“Sebahagian biji koko dari kawasan ini menjadi pilihan dan dibeli oleh pengeluar coklat single origin dan beans-to-bar,” kata kenyataan tersebut pada Isnin.
Dalam pada itu, Lembaga Koko Malaysia (LKM) sedang melaksanakan beberapa program pembangunan untuk menyokong pembangunan tanaman koko di Pedalaman Sabah.
Antara program yang sedang dilaksanakan termasuk Program Pemulihan Kebun Koko, pembinaan Mini Pemprosesan Biji Koko serta penubuhan Kelab Belia Koko.
“Mini Pemprosesan Koko di Kampung Liau Ulu, Keningau, Sabah telah siap dibina dan dimanfaatkan oleh 80 orang pekebun kecil dengan sasaran pengeluaran sebanyak 100 tan biji koko setahun.
“Sasaran tersebut dijangka mampu memberi keuntungan lebih RM200,000 setahun kepada negara.
“LKM turut mewujudkan Kelab Belia Koko dimana ahli kelabnya akan didedahkan dengan peluang menimba ilmu dan menambah pendapatan dalam industri koko,” tambah kenyataan tersebut.
KPK juga menyambut baik inisiatif yang dilaksanakan oleh LKM tersebut dalam memastikan industri koko berdaya saing serta lebih produktif sejajar dengan sasaran yang ditetapkan dalam Dasar Agrokomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030).
Baca juga: