Dakwaan yang tular berkenaan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub memberi arahan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) melarang pemakaian baju Pakatan Harapan (PH) ketika masuk ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dinafikan sekeras-kerasnya.
Menerusi hantaran di laman Facebook Ahmad Jazlan, beliau menegaskan tiada sebarang pengeluaran arahan daripadanya sebagaimana dakwaan yang tular sejak Selasa menerusi aplikasi Whatsapp dan Telegram.
“Pada petang tadi telah berlegar mesej berhantu di aplikasi whatsapp dan telegram yang memburukkan nama saya.
“Ini adalah satu dakyah dan konspirasi politik kotor daripada pihak lawan. Saya menafikan sekeras-kerasnya penyataan ini.
“Seluruh jentera parti di dalam Kerajaan Perpaduan bersemangat dan kekal fokus dalam memenangkan calon BN DUN Nenggiri,” katanya menerusi lama Facebook rasminya.
Sebelum ini, media melaporkan UMNO sebulat suara dan menghormati cadangan Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih dikenali sebagai Ku Li bahawa Parti Tindakan Demokratik (DAP) tidak perlu hadir dalam membantu kempen di Nenggiri ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu pada 17 Ogos 2024.
Dalam masa sama, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan tersebut mempunyai asas kerana Ku Li juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang dan Pengarah PRK Nenggiri.
Sementara itu, Ku Li dilaporkan meminta DAP tidak perlu hadir berkempen di Nenggiri menjelang PRK DUN berkenaan.
Beliau berkata, tiada sebab untuk pemimpin parti majoriti Cina untuk turun berkempen di kawasan 100 peratus pengundi Melayu.
Baca juga: