Pelabur Makin Yakin Dengan Pengukuhan Ringgit Malaysia – Pakar

PETALING JAYA: Pelabur seluruh dunia semakin yakin dengan pengukuhan ringgit Malaysia berbanding dolar Amerika Syarikat, kata Penganalisis ekonomi, Profesor Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff.

Beliau berkata ia menunjukkan ekonomi di rantau Asia semakin mendapat perhatian dan ia merupakan pencapaian terbaik Malaysia sejak 11 bulan lepas.

Ujarnya, keputusan Bank of Japan (BOJ) untuk menaikkan kadar faedahnya, antara faktor pendorong lonjakan tersebut.

“Ia membawa maksud bahawa pelabur yakin bahawa pertumbuhan ekonomi yang lebih positif akan dapat dinikmati di rantau Asia. Akan mula mencari negara yang mampu dan boleh memberi pulangan yang diharapkan oleh mereka dan Malaysia salah satu pilihan mereka,” katanya memetik Berita RTM pada Khamis.

Beliau turut menambah, para pelabur juga yakin Rizab Persekutuan Amerika Syarikat akan menurunkan kadar faedahnya pada masa akan datang juga turut menyumbang kepada ringgit yang mengukuh berbanding dolar AS.

Terdahulu, ringgit melonjak 315 mata asas kepada 4.5885/5925 berbanding dolar Amerika daripada 4.6200/6235 ketika ditutup semalam.