Kerajaan Negeri Perak mengambil berat polemik yang timbul berikutan tular sebuah klip mengenai kursus lawatan anjuran Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) di sebuah rumah ibadat bukan Islam baru-baru ini.
Pejabat Menteri Besar Perak dalam satu kenyataan berkata, pelbagai salah faham dan persepsi negatif telah timbul terutama dalam kalangan umat Islam dan ianya menjejaskan reputasi pihak-pihak berkuasa agama Islam termasuk JAIPk.
Oleh itu, kerajaan negeri mengadakan satu mesyuarat khas yang dihadiri oleh pihak Jabatan Mufti Negeri Perak, JAlPk dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi membincangkan isu berkenaan.
“Hasil daripada mesyuarat berkenaan dan setelah diangkat sembah serta mendapat titah nasihat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazin Muizzuddin Shah, beberapa ketetapan telah dibuat bagi menangani isu tersebut.
“JAIPk telah diarahkan untuk membuat penjelasan bagi membetulkan kekeliruan dan salah tanggapan yang timbul termasuk kenyataan yang dikeluarkan oleh salah seorang peserta kursus berkenaan.
“JAIPk juga diarahkan untuk mengkaji semula modul kursus berkenaan bagi mengelakkan fitnah dan salah faham sehingga menjejaskan nama baik dan kredibilitinya sebagai jabatan yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal dan kepentingan umat Islam,” katanya.
Kerajaan negeri turut memohon agar JAIPk mendapatkan pandangan Jabatan Mufti Negeri Perak terlebih dahulu sebelum menganjurkan program seumpama itu pada masa hadapan selain berunding bagi menggunakan modul, kaedah atau pendekatan yang lebih sesuai.
“Semua pihak perlu berhati-hati dan memastikan tiada kenyataan dalam sosial media yang dibuat tanpa pemantauan, apatah lagi jika menyentuh sensitiviti agama.
“Diharapkan agar semua pihak bertenang dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan dan ketegangan bukan sahaja dalam kalangan umat Islam, tetapi juga dalam konteks masyarakat berbilang kaum di negara ini,” tambahnya lagi.
Oleh: Syahirah Harish