MOTAC alu-alukan dua penerbangan baharu dari India ke Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) mengalu-alukan penerbangan baharu AirAsia yang menghubungkan Guwahati dan Kozhikode (Calicut) terus ke Kuala Lumpur.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan pada petang Jumaat yang menyatakan peluasan itu bakal mengukuhkan hubungan udara antara India dan Malaysia dengan menawarkan kemudahan yang lebih besar kepada pelancong.

“Laluan baharu, bermula pada 2 Ogos 2024, akan beroperasi tiga kali seminggu. Pengembara dari Guwahati dan Kozhikode kini boleh menikmati akses terus ke Kuala Lumpur tanpa visa atau pemindahan penerbangan.

“Pengalaman perjalanan yang lancar ini membolehkan pengunjung menerokai pelbagai tarikan di Malaysia, daripada Menara Berkembar Petronas yang ikonik ke pantai Langkawi dan warisan budaya Pulau Pinang,” katanya.

Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, Manoharan Periasamy, turut menunjukkan keterujaan atas kerjasama yang dijalinkan itu kerana menurutnya, ia mampu meningkatkan kebolehcapaian bagi pelancong dari Guwahati dan Kozhikode.

“Penerbangan terus ini menekankan komitmen kami untuk mempromosikan pelancongan dan mengukuhkan hubungan dua hala. Kami yakin laluan ini akan meningkatkan ketibaan pelancong dan menyediakan pelawat pengalaman yang tidak dapat dilupakan di Malaysia.

“India adalah pasaran pelancongan utama bagi Malaysia. Pada April 2024, ketibaan pelancong India meningkat sebanyak 80.2 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023, mencecah 295,000 pelawat,” ujarnya.

Tambahnya lagi, MOTAC di bawah pimpinan Datuk Seri Tiong King Sing menyasarkan lebih kurang satu juta pelancong India menjelang akhir 2024 dengan pengenalan penerbangan baharu ini.

Oleh: Wahida Ramlan

Anda Mungkin Berminat