KUALA LUMPUR: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) merampas peralatan darjah kebesaran palsu daripada seorang pengarah sebuah syarikat telekomunikasi berhubung dakwaan penggunaan gelaran Datuk Seri yang palsu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf menyatakan bahawa laporan tersebut diterima daripada Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang.
“Susulan itu, beberapa peralatan darjah kebesaran palsu telah dirampas daripada penama tersebut.
“Siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti suspek-suspek lain yang terlibat dalam sindiket pemalsuan darjah kebesaran Pahang,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Ramli menasihatkan agar mana-mana individu tidak sewenangnya menggunakan darjah kebesaran palsu kerana ia merupakan kesalahan jenayah.
Dalam kes tersebut, pengarah syarikat itu boleh didakwa di bawah Seksyen 3(1)(a) Enakmen 18, Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017 kerana telah menggunakan gelaran tidak wajar bagi tujuan perniagaan.
“Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh didenda tidak kurang daripada RM250,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” tambahnya.
Oleh: Shafira Aziz