Oleh: Shafira Aziz
GUA MUSANG: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin akan kemampuan calon parti berkenaan dalam memberikan perkhidmatan terbaik di Nenggiri.
Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, atau lebih dikenali sebagai Awi diumumkan sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri mewakili BN.
“BN menampilkan Awi, seorang anak muda yang berwibawa bagi merampas kembali DUN 43 Nenggiri.
“Awi telah lama berkhidmat dan bersama pengundi di dalam DUN ini dan beliau kini memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Gua Musang dan juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu, Zahid turut menyatakan keyakinan beliau terhadap kemampuan Azmawi untuk menggalas amanah parti dan memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di Nenggiri.
Beliau berkata demikian ketika turut serta berarak bersama-sama seluruh jentera penyokong BN dan Pakatan Harapan (PH) untuk sesi penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri di Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang pagi tadi.
Beliau turut menzahirkan kesyukuran selepas proses penamaan calon tersebut berjalan dengan lancar dan berharap agar kesempurnaan ini berterusan buat jentera parti untuk bekerja sebaiknya demi memenangkan Awi dan BN.
Untuk rekod, PRK DUN Nenggiri akan diadakan pada 17 Ogos melibatkan 20,259 pengundi.
Ia susulan berlaku kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian Bersatu pada 13 Jun lalu.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, Mohd Azizi menang dengan majoriti 810 undi apabila mendapat 6,517 undi, berbanding calon BN, Ab Aziz Yusoff yang memperoleh 5,707 undi.