JENAZAH pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Founding Imam Bandar Lusail, Doha semalam.
Terdahulu, pemimpin syahid itu disembahyangkan di Masjid Imam ibn Muhammad Abd al-Wahhab selepas solat Jumaat.
Ribuan hadir memberi penghormatan terakhir kepada allahyarham termasuk pemimpin dari pelbagai negara Arab dan Malaysia.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah yang mewakili Kerajaan Malaysia pada majlis itu dalam catatan di Facebook berkata, kehadiran ribuan orang sewaktu solat jenazah dan upacara pengebumian Haniyeh jelas menunjukkan nilai penghormatan yang tinggi kepadanya sebagai pemimpin teragung Palestin.
“Mewakili Kerajaan Malaysia saya telah memberikan penghormatan terakhir kepada pemimpin tertinggi Hamas, Almarhum Ismail Haniyeh,” katanya.
Media Iran melaporkan Haniyeh terbunuh dalam serangan Israel yang menyasarkan tempat penginapannya di utara Tehran sekitar jam 2 pagi waktu tempatan pada 31 Julai.
Haniyeh berada di Tehran untuk menghadiri upacara angkat sumpah presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian.
Shamsul Anuar dalam catatannya optimis bahawa perjuangan Haniyeh akan diteruskan dalam usaha membebaskan Palestin dari cengkaman Zionis dan menjadi sebuah negara merdeka.
Turut mewakili kerajaan Malaysia pada upacara itu ialah Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, pegawai-pegawai Kementerian Dalam Negeri ( KDN ) serta pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Qatar.