Rugi RM188,350 diperdaya sindiket ‘phone scam’

Seorang peniaga wanita menjadi mangsa penipuan ‘phone scam’ menyebabkan kerugian berjumlah RM188,350.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superitendan Mohamad Shofee berkata mangsa telah diperdaya oleh sindiket penipuan yang menyamar menjadi pegawai polis.

Beliau berkata, mangsa telah menerima panggilan telefon daripada suspek pada 21 Julai lalu.

“Suspek memberitahu mangsa bahawa dirinya telah terlibat dalam kes penipuan dalam talian dan meminta mangsa untuk memindahkan kesemua wang miliknya dalam akaun kononnya milik juruaudit Bank Negara.

“Mangsa terpedaya dengan kata-kata suspek lalu memindahkan sejumlah RM188,350 ke dalam akaun keldai yang diberi suspek pada tarikh 26 Julai,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya lagi, suspek turut meminta mangsa untuk menghapuskan segala bukti transaksi yang dilakukan serta perbualan mereka.

Bagaimanapun mangsa hanya menyedari dirinya ditipu apabila wang tersebut tidak dikembalikan ke dalam akaun miliknya semula.

Oleh itu, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebatan dan denda.

Pihak polis menasihati orang ramai untuk lebih cakna dan mengambil tahu trend jenayah komersial agar mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.