Warga emas maut diserang gajah ketika menoreh getah

KLUANG: Seorang wanita warga emas maut selepas cedera parah diserang gajah semasa menoreh dalam kebun getah di Batu 29, Kahang dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian tersebut berlaku pada 7 pagi ketika mangsa, Misirah Sanima, 75 sedang menoreh getah.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di kawasan kebun getah yang terletak di tepi jalan utama dan terdapat kesan tapak kaki gajah liar.

“Turut menjumpai cermin mata dan alat menoreh getah milik mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bahrin berkata, hasil siasatan mendapati punca kematian disebabkan kecederaan dan pendarahan dalaman.

Difahamkan, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) untuk bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai kes kematian mengejut (SDR),” katanya.

Anda Mungkin Berminat