Oleh: Syahirah Harish & Farah Faizal
KENDERAAN elektrik (EV) semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna di Malaysia sehinggakan beberapa jenama EV mula memasuki pasaran negara ini berikutan permintaan tinggi terhadap kenderaan tersebut.
Tidak ketinggalan, syarikat automotif nasional, Proton Holdings Bhd memperkenalkan model sulung kenderaan elektrik pertama Malaysia yang dikenali Proton e.MAS 7.
Namun, segelintar pihak menyatakan bahawa syarikat automatif negara perlu memberikan fokus tentang pengeluaran alat ganti kereta EV supaya seiring dengan pengeluaran produk (kereta EV).
Antara yang bersetuju dengan kenyataan tersebut, Mohamed Ainudinn, 34 berkongsi pengalamannya memandu kereta elektrik sejak tahun 2017.
Jelasnya, sebagai rakyat Malaysia, dirinya begitu bangga apabila Proton mengeluarkan kereta elektrik sulung jenama tempatan namun ada beberapa perkara yang harus diperhalusi oleh pengeluar syarikat automotif.
“Sepanjang saya memandu kereta EV, memang seronok, pemanduan lancar dan sebagainya akan tetapi kurang alat ganti buat kenderaan elektrik dan stesen pengecas EV.
“Saya pernah terkandas di lebuhraya semasa memandu EV, ketika itu saya sedang mencari stesen pengecas berhampiran namun tiada,” katanya kepada MALAYSIA BANGKIT pada Ahad.
Katanya lagi, kereta EV miliknya juga pernah mengalami kerosakan namun akibat ketiadaan alat ganti kenderaan.
Hal itu menyebabkan Ainudinn terpaksa menunggu beberapa bulan untuk membaiki keretanya.
“Kerja hakiki saya tergendala sebab saya hanya ada satu kereta, jadinya bila ‘sparepart’ tiada memang makan masa lama untuk bengkel order barang dan mula baiki kerta tersebut,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Ainudinn berharap agar syarikat automotif dan Kerajaan dapat membuat persediaan yang menyeluruh untuk mencapai sasaran 1.3 juta EV dalam Malaysia menjelang 2040.
Jumaat lalu, Proton Sdn Bhd telah memperkenalkan jenama elektrik pertama Malaysia iaitu e.Mas 7.
Menurut Proton, Proton e.MAS 7 menjalani ujian yang ketat dengan 700,000 waktu kerja dan 10 juta kilometer dilakukan untuk mengesahkan ketahanan dan kebolehpercayaannya.