PM Bangladesh Larikan Diri Selepas Letak Jawatan

DHAKA: Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina telah meletak jawatan dan meninggalkan negara itu pada Isnin.

Reuters melaporkan, beliau meletak jawatan di saat lebih ramai orang awam terbunuh dalam beberapa keganasan terburuk sejak kelahiran negara Asia Selatan itu lebih lima dekad lalu.

Sebelum ini, media melaporkan beribu-ribu penunjuk perasaan Bangladesh menyerbu istana Sheikh Hasina di Dhaka selepas sumber memberitahu AFP dia telah melarikan diri dari demonstrasi besar-besaran menuntutnya meletak jawatan.

Saluran 24 Bangladesh menyiarkan imej orang ramai yang berlari masuk ke kediaman rasmi Perdana Menteri di ibu negara, melambai ke arah kamera ketika mereka meraikannya.

Hasina telah memerintah Bangladesh sejak 2009 dan memenangi pilihan raya keempat berturut-turut pada Januari selepas pengundian tanpa pembangkang yang tulen.

Kerajaannya dituduh menyalahgunakan institusi negara untuk mengukuhkan kuasanya dan menghapuskan perbezaan pendapat, termasuk melalui pembunuhan di luar undang-undang.

Demonstrasi bermula berhubung pengenalan semula skim kuota yang mengkhaskan lebih separuh daripada semua pekerjaan kerajaan untuk kumpulan tertentu.

Anda Mungkin Berminat