UMNO saman RM100 juta, apa saya nak bagi keluarga makan? – ADUN Rembia

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis meluahkan rasa kecewa dengan tuntutan UMNO sebanyak RM100 juta kepadanya kerana meninggalkan parti itu dan menyertai PAS.

Malah, beliau menganggap tuntutan yang sedang dihadapinya kini bertujuan untuk menjadikannya muflis.

“Saya dituduh melompat, dilabel pengkhianat oleh UMNO kerana menyertai PAS. Masuk PAS ni dapat duit ke? Dapat sengsara ada kerana saya disaman dengan RM100 juta.

“UMNO nak bankrapkan saya. Apa saya nak beri anak bini saya makan? Tetapi ini soal pendirian dan pegangan,” katanya ketika berceramah di Meranto, Gua Musang pada Ahad malam.

Mengakui dia akan berdepan dengan isu kewangan jika tuntutan tersebut dipenuhi, Jailani bagaimanapun berkata, beliau akan tetap memberi komitmen terhadap keputusannya menyertai PAS kerana sedar ia adalah harga yang perlu dibayar kerana meninggalkan UMNO.

Pada 3 Ogos lalu, Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu sudah menghantar surat tuntan (LOD) kepada Jailani ekoran tindakannya melompat ke PAS.

Ahmad Zahid mendedahkan perkara itu berkata, ia merupakan langkah awal bagi parti berkenaan mendapatkan pampasan sebanyak RM100 juta daripada Jailani.

Muhammad Jailani turut memberi alasan penyertaannya ke dalam PAS kerana ada janji yang dibuat oleh pemimpin UMNO tidak ditunaikan seperti yang sepatutnya.

“Saya sudah dijanjikan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Zahid Hamidi, Mohamad Hasan, Ahmad Maslan dan beberapa orang lagi kepimpinan tertinggi bahawa UMNO tidak akan bekerjasama dengan Anwar dan DAP,” katanya.

Disebabkan itu, beliau memilih PAS sebagai rakan seperjuangan.

Anda Mungkin Berminat