Pinda Akta 333, Hukuman Lebih Berat Kepada Pemandu Positif Dadah

PETALING JAYA: Kementerian Pengangkutan akan meminda Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi mendakwa dan menghukum pemandu yang positif dadah.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, ini kerana undang-undang sedia ada tidak membolehkan penguatkuasaan dilakukan terhadap golongan pemandu terbabit selagi tidak menyebabkan kemalangan jalan raya.

“Undang-undang sedia ada belum cukup tegas terhadap pemandu yang mengambil dadah, kerana kita hanya boleh dakwa mereka sekiranya mengakibatkan kemalangan jalan raya. Kalau seseorang pemandu itu dikesan jadi penagih dadah tetapi tidak, atau belum ada kemalangan, tidak boleh didakwa hanya boleh digantung lesen sahaja.

“Ini perkara yang saya rasa kita perlu kaji balik. Kita tidak mahu tunggu sampai kemalangan berlaku baru ambil tindakan terhadap pemandu tersebut dan mereka ini perlu disenarai hitam daripada sistem kita termasuk jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Pemantauan Operasi Khas Berserady Kenderaan Pelancongan dan Kenderaan Perkhidmatan Awam bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Stesen Penguatkuasa JPJ di Gombak pada Isnin.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, cadangan untuk meminda Akta 333 akan dibawa ke Persidangan Ketiga Dewan Rakyat pada Oktober ini selaras perbincangan lanjut bersama pegawai kementerian dan jabatan berkaitan.

“Bagi saya, orang yang menyalahgunakan dadah ini sama dengan orang yang mabuk kerana dia di bawah pengaruh dadah. Jadi ini sangat membahayakan,” ujarnya.

Anthony juga memaklumkan cadangan pindaan itu dilakukan susulan kemalangan treler merempuh sebuah rumah hingga menyebabkan dua beradik maut di Kilometer 5 Jalan Pekan-Rompin dekat Kampung Ketapang Hilir, Pekan, Pahang.

Difahamkan, pemandu treler berusia 40 tahun yang berseorangan itu dipercayai di bawah berada pengaruh dadah.

Anda Mungkin Berminat