PM terima permohonan maaf Meta

Oleh: Kamilia Ali

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima permohonan maaf dari pihak Meta Platform Inc (Meta) berkait isu hantaran Facebook miliknya berkenaan pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh yang terbunuh, kata jurucakap Kerajaan Perpaduan, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.

Fahmi berkata, Anwar berharap perkara itu tidak berulang lagi selepas ini.

“Saya ada berhubung dengan Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) dan beliau sendiri mengambil maklum akan permintaan maaf daripada Meta.

“Perdana Menteri memaklumkan bahawa sahabat-sahabat beliau, termasuk di Timur Tengah (Asia Barat), sudah membaca berita terbabit… bermaksud ia sudah sampai ke seantero dunia.

“Perdana Menteri menerima permohonan maaf itu dan pada masa sama, kita berharap kejadian seperti ini tidak berulang lagi,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Putrajaya pada Selasa.

Pada masa yang sama Fahmi berkata, ia tidak boleh menerima alasan daripada Meta berhubung penggantungan siaran langsung disiarkan di Facebook melalui akaun Berita RTM yang menyiarkan Himpunan Pembebasan Palestin pada Ahad lalu.

“Mereka senyum simpul,” katanya ketika ditanya jawapan diberikan Meta berhubung perkara itu.

Terdahulu, Meta hari ini memohon maaf kerana menurunkan hantaran ucapan takziah melalui akaun rasmi Anwar di platform Facebook dan Instagram berhubung pembunuhan Haniyeh.

Menurut jurucakap Meta, ia adalah ‘kesilapan operasi’ dengan hantaran terbabit sudah dimuat naik semula menggunakan label berita yang sahih.

Semalam, kerajaan menuntut permohonan maaf daripada Meta, syarikat induk Facebook dan Instagram, kerana menurunkan beberapa hantaran media sosial Anwar berkait Ismail Haniyeh.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata, tuntutan itu dibuat ketika Fahmi dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din bertemu dengan wakil Meta.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat