Oleh: Wahida Ramlan
HANYA kos pembiayaan delegasi Majlis Olimpik Malaysia (MOM) ke Sukan Olimpik Paris 2024 di bawah tanggungan MOM, manakala tetamu MOM pula ditanggung oleh pihak berkenaan dan tidak melibatkan dana kerajaan.
Majlis Sukan Negara (MSN) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan hal sedemikian susulan gambar tular memaparkan keluarga kepada Presiden MOM, Datuk Seri Mohammad Norza Zakaria menghadiri perlawanan badminton bagi penentuan pingat gangsa yang mencetuskan pelbagai spekulasi di media sosial.
“MSN hanya bertanggungjawab membiayai kos perbelanjaan membabitkan atlet, jurulatih, pegawai MSN, Institut Sukan Negara (ISN) dan operasi Malaysia House untuk temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.
“Kos pembiayaan untuk delegasi MOM adalah di bawah tanggungan MOM dan bagi tetamu mereka dibayar oleh pihak-pihak berkenaan dan tidak melibatkan dana kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Norza menerusi laporan portal tempatan menyatakan beliau mempunyai kuota khas dalam membawa tetamu sendiri bagi menonton acara temasya Olimpik Paris 2024 itu.
Norza turut menegaskan kuota itu tiada kaitan dengan kad akreditasi yang melibatkan atlet dan pasukan negara yang menyertai kejohanan terbabit.
Malaysia setakat ini berjaya mengumpul dua pingat gangsa di temasya itu menerusi sukan badminton, yang disumbangkan oleh beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan perseorangan lelaki Lee Zii Jia.
Misi meraih pingat emas Olimpik pertama negara masih diteruskan dengan tumpuan diberikan kepada jaguh berbasikal trek Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang sebelum ini meraih pingat perak dalam acara keirin, pada edisi Tokyo 2020.