PM cadang tubuh Zon Ekonomi Khas Malaysia-Thailand

Oleh: Farah Faizal

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan Zon Ekonomi Khas (SEZ) Malaysia-Thailand termasuk penglibatan sektor swasta dan syarikat pemula ditubuhkan.

Cadangan itu diutarakan kepada Menteri Luar Negeri Thailand, Maris Sangiampongsa semasa kunjungan hormat yang diadakan pada Selasa.

“Penglibatan mereka (swasta dan syarikat pemula) boleh menarik lebih banyak pelaburan ke dalam SEZ. Malah saya juga mencadangkan agar Kelantan mengambil peluang membina ruang perniagaan di sepanjang Sungai Golok,“ katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya pada Rabu.

Dalam pertemuan itu, mereka turut membincangkan hasil lawatan kerja beliau bersama Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisn ke Sungai Golok, Thailand dan Rantau Panjang, Kelantan pada Sabtu lalu.

Menerusi perkongsian sama, selain membincang sektor getah dan industri makanan, mereka turut berbincang mengenai pengorekan muara Sungai Golok bagi menangani isu banjir dimana usaha ini bertujuan membantu komuniti di sepanjang sempadan yang menghadapi masalah banjir hampir setiap tahun.

Sementara itu, Anwar juga menyatakan komitmen Malaysia terhadap Proses Dialog Keamanan Selatan Thailand.

“Kedua-dua negara juga telah bersetuju untuk Malaysia menjadi tuan rumah Perundingan Tahunan Ke-7 pada 19 September 2024.

“Moga hubungan kedua negara berjiran ini terus utuh dan kekal harmoni,” katanya.