Oleh: Kamilia Ali
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan bahawa Prof Dr Zaliman Sauli telah menerima watikah pelantikan semula sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Beliau menerima watikah pelantikan tersebut daripada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Zambry Abd Kadir bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 9 Ogos 2024 hingga 8 Ogos 2026.
Dalam satu kenyataan, KPT yakin dengan pelantikan semula tersebut dapat meneruskan perancangan bagi memenuhi aspirasi dan hala tuju UniMAP.
“Pelantikan semula ini dapat memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terutama dalam teknologi baharu industri semikonduktor untuk melahirkan graduan TVET sedia industri,” katanya.
Untuk info, Zaliman, 57, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Fizik daripada Universiti Teknologi Malaysia, Sarjana Sains (MSc in Advanced Semiconductor Materials and Devices) daripada University Of Surrey, United Kingdom.
Seterusnya, beliau memperoleh Ijazah Doktor Falsafah Kejuruteraan Mikroelektronik daripada UniMAP pada 2012.
Baca juga: