Rakyat Malaysia diminta tangguh perjalanan ke Bangladesh

Oleh: Wahida Ramlan

PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia diminta agar menangguh semua perjalanan ke Bangladesh selepas mengambil kira situasi negara itu yang masih sukar diramalkan.

Kementerian Luar Negeri (KLN) melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka menyarankan warganegara Malaysia untuk menangguhkan sebarang perancangan mahupun perjalanan ke Bangladesh sehingga urusan pentadbiran negara di sana dalam keadaan stabil.

“Mengambil kira situasi yang masih sukar diramalkan, warganegara Malaysia adalah diminta untuk menangguhkan semua perjalanan ke Bangladesh.

“Warganegara yang berada di Bangladesh adalah dinasihatkan untuk mendaftarkan keberadaan dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, serta sentiasa berwaspada, mengelak daripada berada dalam kawasan konflik dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan,” katanya menerusi satu kenyataan pada hari ini.

Kementerian Luar Negeri (KLN) menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya memantau rapat situasi di Bangladesh.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka turut menggesa warganegara Malaysia yang mengalami sebarang kecemasan boleh menghantar emel ke mwdhaka@kln.gov.my ataupun hubungi talian atau +880241081892 +88 01841798077 untuk sebarang kecemasan.