Shamsul Azri dilantik KSN baharu bermula 12 Ogos

Oleh: Farah Faizal

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baharu.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi satu kenyataan pada Rabu memaklumkan, lantikan tersebut berkuat kuasa pada Isnin depan.

“Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar sebagai KSN yang baharu berkuat kuasa mulai 12 Ogos bagi menggantikan Tan Sri Mohd Zuki Ali yang akan tamat kontrak perkhidmatannya pada 10 0gos 2024,” katanya.

Menurut kenyataan itu, beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Pentadbiran Perniagaan) dari University of Tulsa Oklahoma, Amerika Syarikat dan turut menerima pendedahan dengan beberapa institusi antarabangsa antaranya University of Cambridge, United Kingdom serta European Institute of Business Administration (INSEAD).

Selain itu, Shamsul Azri, 55, pernah bertugas di Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam dan juga pentadbiran kerajaan negeri.

Dalam pada itu, PMO memaklumkan kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Mohd Zuki atas segala khidmat bakti beliau sepanjang tempoh memegang jawatan KSN.

“Ia khususnya dalam usaha-usaha mengukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan awam dengan memperkenalkan pelbagai pembaharuan demi memastikan agenda pembangunan negara dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.

Anda Mungkin Berminat